1. Peraturan pakaian wanita dalam ajaran Islam adalah bertujuan memelihara ketinggian nilai wanita dan membezakan mereka dengan wanita-wanita lain yang tidak mementingkan nilai kemuliaan. Serta mengelakkan mereka terdedah kepada gangguan orang atas andaian mereka golongan murahan. Firman Allah: (maksudnya)
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan jilbab (pakaian) mereka ke atas tubuh mereka; cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Ahzab, ayat 59).
Maka, asas dalam membuat reka fesyen pakaian seorang wanita muslimah hendaklah berteraskan pakaian yang memberikan gambaran yang pemakainya seorang wanita yang baik dan tidak bertujuan menarik nafsu atau meransang lelaki dengan pendedahan, warna yang melampau, rekaan fesyen yang memberikan nilai yang negatif dan seumpamanya.
2. Sebelum kita pergi lebih jauh, wajar kita tahu bahawa dalam kalangan fuqaha (sarjana fekah) ada yang agak ketat pandangan mereka mengenai aurat wanita, dan ada yang sederhana. Bahkan ada yang longgar sehingga menganggap soal jilbab dalam ayat Surah Al-Ahzab di atas hanya berkaitan wanita-wanita Arab sahaja. Ini seperti yang dinyatakan oleh al-Syeikh Muhammad Tahir Ibn ‘Asyur ketika memperkatakan ayat tersebut:
“Ini peraturan yang meraikan kebiasaan Arab. Maka kaum yang tidak memakai jilbab, maka tidak terbabit dengan hukum tersebut” ( Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah, ms 228, al-Basair li Intaj al-‘Ilm).
Ada juga yang ketat sehingga menganggap wanita keseluruhannya aurat; termasuk wajah mereka. Dengan itu golongan ini mewajibkan niqab (purdah). Namun jumhur (mijoriti) ulama berpendapat bahawa diri wanita memang tidak boleh didedahkan kepada kepada lelaki bukan mahramnya, tapi dikecualikan muka dan tapak tangan. Dalam Mazhab Hanafi, dilonggarkan sedikit lagi, maka pergelangan kaki diizin. Ini kerana pergelangan kaki sesuatu yang sukar untuk dielakkan terdedah, terutama wanita yang bertugas dengan tugasan tertentu dan pada zaman dahulu pula tidak kecanggihan stokin seperti sekarang.
3. Pada saya, pendapat jumhur (mijoriti ulama) yang menganggap wajah wanita dan tapak tangan bukanlah aurat yang wajib ditutup merupakan pendapat yang kuat berteraskan dalil-dalil yang kukuh. Antara hujah yang kuat dalam hal ini firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 31(maksudnya):
“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.
Berpandukan ayat ini pihak jumhur berhujah dengan dua perkara: pertama; maksud “kecuali yang zahir daripadanya” ialah wajah dan tapak tangan. Ini sama seperti yang ditafsirkan oleh Ibn `Abbas, Umm al-Mukminin`Aisyah, `Abdullah bin `Umar, Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Miswar bin Makhramah dan lain-lain. Al-Syeikh al-Albani r.h. mendetilkan penbincangan ayat tersebut dalam kitabnya al-Radd al-Mufhim membukti bahawa muka dan tapak tangan bukannya aurat bagi wanita muslimah dan beliau menyenaraikan riwayat para sahabah yang memegang pendapat ini.
Kedua; ayat di atas menyatakan “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”. Allah hanya memerintahkan agar sebagai bahagian dada yang terdedah disebabkan belahan leher baju. Ini bermaksud wanita diperintahkan agar tudung kepala mereka dilabuhkan sehingga menutup bahagian dada yang terdedah kerana belahan leher baju. Bahagian belahan leher yang mungkin mendedahkan dada dan sekitarnya itu perlu ditutup. Ayat ini tidak langsung menyebut agar mereka menutup wajah mereka. Kalaulah wajah itu adalah `aurat, maka sudah pasti ayat ini akan turut memerintahkan agar mereka menutupnya juga. Oleh itu al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi menyebut dalam al-Muhalla: “Ayat adalah dalil bahawa diharuskan membuka wajah, tidak mungkin sama sekali difahami selain dari itu”
4. Adapun sanggul; terdapat hadis Nabi s.a.w. di mana seorang wanita bertanya Nabi s.a.w:
“Wahai Rasulullah! Saya seorang wanita yang mempunyai dandanan yang kemas, apakah saya mesti merongkaikannya untuk mandi junub? Jawab Rasulullah s.a.w: “Tidak! Hanya memadai engkau mencurahkan sebanyak tiga kali, kemudian engkau sirami dirimu dengan air, maka engkau telah bersuci” (Riwayat Muslim).
Hadis ini menunjukkan Rasulullah s.a.w tidak membantah wanita ini mempunyai dandanan yang kemas. Bahkan diberikan kemudahan kepada mereka yang bersanggul untuk tidak merongkaikannya ketika mandi wajib.
5. Adapun pakaian wanita yang berwarna bukanlah satu kesalahan selagi warna itu secara lojik itu tidak membawa kepada pandangan yang serong ataupun buruk terhadap dirinya. Ini kerana wanita pada zaman Nabi s.a.w, bahkan isteri-isteri dan anak perempuan baginda juga memakai pakaian berwarna. Begitu banyak riwayat yang membuktikan hal tersebut. Antaranya apa yang disebut oleh Aishah bint Sa’d:
“Aku melihat enam dari isteri-isteri memakai pakaian mu’asfar (berwarna merah)” (Riwayat al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah).
Mu’asfar bermaksud dicelup dengan ‘usfur iaitu sejenis tumbuhan yang menghasilkan warna merah. Said bin Jubair meriwayatkan bahawa beliau lihat sesetengah isteri Nabi s.a.w bertawaf di Kaabah memakai pakaianmu’asfar (Riwayat Ibn Abi Syaibah). ‘Umar bin Al-Khattab apabila melihat lelaki memakai warna mu’asfar, akan memarahi mereka dan berkata: “Tinggalkan ini untuk wanita” (al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah).
6. Begitu juga “Anas bin Malik melihat Umm al-Kalthum puteri Rasulullah s.a.w memakai selendang daripada sutera bersulam emas” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Ini menunjukkan pakaian jenama mahal, halus dan berwarna yang menawan iaitu keemasan. Dalam riwayat al-Bukhari juga: “Isteri ‘Abd al-Rahman bin al-Zubair datang mengadu kepada ‘Aishah. Kata Aishah r.a: “Dia memakai pakaian berwarna hijau”.
7. Maka kata al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (463):
“Adapun wanita maka ulama tiada perbezaan pendapat bahawa harus mereka memakai warna mu’asfar (merah), mufaddam (tersangat merah), warna ros, merah tanah” (al-Tamhid, 16/123, Muassasah al-Qurtubah).
Apa yang disebutkan ialah warna yang digunakan pada zaman tersebut. Sebahagian warna yang dilarang kepada lelaki, tetap dibenar perempuan. Ada keluasan dalam masalah ini.
8. Maka wanita boleh untuk bersanggul, membuka wajah mereka dan berpakaian berwarna. Asas yang penting yang mesti dijaga hendaklah penampilan mereka tidak memperlihatkan seakan mereka wanita yang kurang baik, atau ‘memburu lelaki’ atau apa yang boleh menimbulkan sangkaan pada kebiasaannya. Warna dan jenis pakaian dinilai berdasarkan kepada anggapan sesebuah masyarakat juga. Di samping ketetapan syarak, apa yang menjadi persepsi sesebuah masyarakat mengenai sesuai fesyen hendaklah diambil kira. Ini mereka ayat itu tadi: (maksud) ; “cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu”.